Carilah Siapa Dia

MOHD SALLEH

MOHD SALLEH
SEWAKTU KECIL

Rabu, 17 September 2014

PANGKAT DAN RIAK


Pangkat Dan RIAK

Assalaamu’alaikum w.r.t dan salam sejahtera. Selamat menyambut hari maulidur rasul pada seluruh umat islam.
      
Ketahuilah… moga-moga Allah s.w.t memelihara saya dan anda semua. Asal pangkat itu ialah menyebarkan nama dan kemasyhuran diantara orang ramai. Ia termasuk dalam katogeri perkara yang tercela. Manakala yang terpuji, hendaklah ia jangan menghebohkan sangat kemasyhuran dirinya, malah berdiam diri dan bekerja terus dalam menyebarkan ilmu-ilmu agama tanpa meminta pangkat atau kedudukan, kelak Allah Taala akan memasyhurkannya dalam kalangan umatnya. Sebenarnya, pujian yang sebenar adalah hak mutlak milik Yang Maha Terpuji. Kita tidak layak berasa bangga dengan setiap pujian yang diberikan oleh sesama hambaNya. Semoga Allah melindungi kita semua.
      
Firman Allah bermaksud : itulah tempat tinggal akhirat yang kami (Allah) sediakan bagi orang-orang yang tiada menginginkan ketinggian pangkat dimuka bumi, dan tiada pula melakukan kerosakan.  (Surah al-Qashash ayat 83)
      
Dalam ayat tersebut Allah telah menyebutkan sekaligus dalam setempat, keinginan membuat kerosakan dan menuntut ketinggian pangkat atau darjat di atas muka bumi. Lalu Allah menerangkan selanjutnya, bahawa dunia akhirat yang disediakan itu adalah bagi orang yang sepi dan bersih dari kedua-dua kemahuan ini, iaitu tidak membuat kerosakan di atas muka bumi atau pun mencari nama dan ketinggian pangkat.
      
Firman Allah bermaksud: barang siapa menginginkan kehidupan dunia dan kelazatannya, nescaya kami (Allah) memnuhi (membayar) kepada mereka segala amalan-amalan mereka di dunia, dan mereka itu tidak akan dirugikan. Mereka itulah orang-orang yang tiada memperolehi sesuatu di akhirat, selain api neraka.

Sesungguhnya tiada berguna segala apa yang telah mereka lakukan didunia, dan terbuanglah segala apa yang mereka kerjakan.   (surah Hud, ayat 15-16)
      
Ayat ini masih menyentuh secara umum tentang orang yang suka meminta pangkat dan kedudukan di dalam dunia, sebab mencari nama dan pangkat itu merupakan sebesar-besar kelazatan dan keinginan yang dituntut oleh manusia di dalam kehidupan dunia ini. Ini juga dikirakan sebagai satu hiasan diri yang terindah bagi manusia.
      
Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa: “Cukuplah keburukan seseorang itu, apabila semua orang menunjuk kepadanya dengan jari (mengangkat mereka menjadi ketua) dalam urusan keagamaan mahupun urusan keduniaannya, melainkan mereka yang dipelihara oleh Allah. Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa kamu, akan tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu.”

Mengenai keutamaan sikat berdiam diri, dalam hal ini ada diriwayatkan oleh sebuah hadis berikut:
“Betapa banyaknya orang yang kusut masai, berpakaian compang camping, tidak menarik perhatian orang ramai, tetapi jika ia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memenuhi sumpahnya.”
      
Selain dari itu, banyak perkara lain yang menunjukkan  tercelanya sifat orang yang mencari kemasyhuran itu, dan keutamaan sifat orang yang berdiam diri. Sememangnya jelas bahawa orang yang inginkan dirinya menjadi masyhur di sana sini dan namanya tersebar dalam kalangan masyarakat itu, ialah orang yang menuntut pangkat dan kedudukan dikalangan orang ramai, padahal mencintai pangkat dan kedudukan adalah punca segala kerosakan dan sebahagian sifat yang tercela.

       Seterusnya yang dikatakan tercela itu, ialah orang yang menuntut agar namanya terkenal dan masyhur dimerata tempat, dan ia akan berusaha sepenuhnya agar cita-citanya terlaksana dengan sepenuhnya. Tetapi jika masyhurnya datang daripada Allah Taala tanpa dituntut atau dirancangkannya, maka yang demikian itu bukan dikira tercela lagi. Malah itu adalah anugerah Allah kepada hambaNya yang bertaqwa.

       BATAS PANGKAT YANG DIHARUSKAN

Kita seharusnya mengetahui bahawa pangkat dan harta kekayaan itu adalah dua rukun bina bagi keduniaan. Pengertian harta kekayaan adalah memiliki benda-benda yang boleh dimanfaatkan. Pengertian pangkat pula ialah memiliki hati orang ramai agar mereka dapat menghormati dan mentaati segala arahannya. Melalui pangkat itu pula, ia akan berkuasa untuk melaksanakan segala cita-citanya menerusi orang lain.

       Dengan yang demikian, jelaslah bahawa kuasa pangkat itu samalah seperti kuasa memiliki harta kekayaan, kerana ia merupakan benda-benda yang dituntut di dalam kehidupan dunia ini. Dan ia akan lenyap dengan sendirinya apabila pemiliknya meninggal dunia. Dunia pula adalah lading akhirat, yakni tempat di mana kita menanam kebaktian bagi persediaan atau kepentingan kehidupan kita di akhirat kelak. Maka sesgala yang dijadikan oleh Allah bagi kita di dunia ini, bolehlah digunakan sebagai bekalan untuk kita di akhirat kelak. Oleh itu jangan kita berasa bangga diri dan riak dengan pangkat dan pujian yang diberikan kepada kita. Kerana riak itu akan menghapuskan kebaikan kita. Manakala bangga diri itu akan menjadikan kita meninggi diri dan sombong. Na’uzubillah…

SEBAB SUKA DIPUJI DAN MARAH DIKEJI

       Penyakit suka dipuji atau marah jika dikeji itu tidak akan ditemui jalan penyembuhannya, melainkan dengan meneliti terlebih dahulu sebab musababnya dan muhasabah diri sendiri. Kerana semua penyakit tidak boleh diubat, selagi tidak diketahui sebab penyakit itu dahulu. Tetapi lebih baik kita mencegah dahulu daripada menunggu ubatnya kemudian.
Ada beberapa sebab yang menjaikan hati seseorang itu suka dipuji dan merasa senang kerananyan, iaitu:
Pertama: sebab yang paling kuat, ialah merasakan diri sendiri telah sempurna dan cukup sebagai insane kamil, tidak ada sebarang kekurangan dan kesalahan. Maka ia merasai diri telah sempurna, jiwanya akan merasa tenang, terlonjak kegirangan dan keenakan. Memang lah pujian itu menimbulkan rasa kesempurnaan dalam hidup orang yang dipuji itu.
Kedua: pujian itu menunjukkan orang yang memuji itu telah terpikat ke dalam hati orang yang memuji itu, dan ia ditakluki oleh orang itu, mempunyai penuh kepercayaan padanya dan sedia mengikut kehendaknya.
Ketiga: segala pijian dan sanjungan yang diucapkan oleh seseorang yang memuji itu, bertujuan untuk menarik perhatian setiap orang yang mendengarnya, terutama apabilaperkara seumpama itu biasanya dilakukan dikhalayak ramai, maka pujian dan sanjungan seperti itu lebih enak didengar oleh telinga dan senang dirasakan oleh hati orang yang dipuji.

Maka jika dikeji orang seperti ini akan melenting dan marah, kerana dalam hatinya hanya ada pujian dan sanjungan. Wallahu’alam.

Tiada ulasan: